Followers

Monday, January 9, 2012

::Apa Azam Anda?::

Masuk tahun baru, rutin kegemaran kita semua pastinya menyenaraikan azam sepanjang tahun.  Ada yang bawa ke hadapan azam tidak tercapai tahun sebelumnya dan menambah dengan beberapa senarai baru.  Azam dan harapan menyuntik semangat dan memotivasikan diri untuk bergerak serta lebih berdaya maju.

Meski hari ini telah seminggu lebih berada di tahun baru, belum terlambat untuk memiliki azam.  Cumanya biarlah apa dicitakan itu realistik dan tidak berangan-angan tinggi yang kelak boleh menjunamkan diri.  Itulah pentingnya diari baru di awal tahun.  Tak perlu susah-susah beli, minta sahaja pada rakan-rakan yang bekerja di organisasi besar..he..he..he..

Buat diri sendiri, tahun ini saya tidak menyenaraikan sebarang azam mahupun meletakkan sasaran sepanjang tahun.  Entah kenapa, saya kurang berminat dan tidak bermaya hendak melakukan sedemikian.  Setelah dua tahun memasang azam hampir sama, malangnya tiada satu pun berjaya dicapai.  Mungkin kerana itu saya tidak bercadang untuk menyenaraikannya tahun ini dan kerana itu juga saya tidak memiliki diari baru bagi tahun 2012.

Bercerita perihal diari, agak-agak masih relevankah lagi peranan diari hari ini jika dibandingkan suatu ketika dahulu?  Di zaman komputer dan pengaruh internet belum berleluasa.  Pastinya tidak ramai lagi di antara kita memiliki diari dan kebanyakkan dari mereka telah beralih ke diari virtual.  

Saya memiliki diari seawal usia 13 tahun, kalau tak silap.  Sehingga ke hari ini, diari-diari tersebut masih kemas tersimpan dan setiap kali membacanya pasti akan tersembur gelak.  Betapa berbunga-bunga ayat yang dicoret dan jika marah, berapi-api ayat digunakan.  Diari sentiasa menjadi peneman setia waktu suka mahupun duka.

Kreatifkan kita suatu waktu dahulu.  Di dalam diari juga saya menyenaraikan azam dan sentiasa meninjau pencapaian selama setahun.  Jika gagal dilaksanakan, samada azam itu akan disenaraihitam atau pun simpan seketika menanti masa sesuai dilaksanakan.  Oh, indahnya suatu ketika itu!  Bolehkah masa diputar ke waktu itu?  ;)  

Apa pun saya tidak berputus harap dan sentiasa berdoa semoga apa diimpikan bakal terlaksana, Insyaallah.  Saya turut mendoakan rakan-rakan akan berjaya mencapai dan melaksanakan segala azam yang telah disenaraikan buat tahun 2012 ini.  Biarlah segalanya bermula dengan baik dan diakhiri dengan baik juga.

Selagi, SELAMAT TAHUN BARU rakan-rakan dan selamat berazam dan gigih berusaha mencapainya....



nota:  tepu dan beku.... 

No comments :

Post a Comment