Followers

Sunday, March 24, 2013

::Nukilan Hati - Syukur?::

Susah pula melelapkan mata, barangkali perut penuh dengan makanan.  Bertemankan TV malam ini sambil jari gatal mahu menari.  Harap-harap rentak tidak akan sumbang ;)
 
Teringat saya pernah mencoret sesuatu di dada kertas sewaktu menunggu.  Tunggu siapa tak ingat pula.  Takpelah, kongsi sahaja nukilan tersebut di sini.
 
Berapa ramai di antara kita sebenarnya menghayati erti kesyukuran?  Mulut lafaz rasa syukur tetapi bagaimanakah penghayatannya?
 
Suatu ketika pernah bergaji RM900++ sebulan.  Aku bersyukur tetapi selalulah berkata "Alangkah bagusnya jumlah tersebut naik ke angka RM1000++".  Bukan tak cukup tapi itulah, 'ngam-ngam soi'!
 
Allah Maha Mendengar lantas makbulkan doa dari kurang menjadi seperti apa dihajati.  Mula-mula dapat, senyum sampai ke telinga.
 
Punyalah pasang niat, okay dah dapat begini banyak bolehlah buat begitu.  Syukur sangat-sangat!
 
Tak sampai setahun mula mengeluh lagi bila mana semuanya sekadar cukup-cukup.  Aduh, ingatkan sudah bertambah adalah lebihan sikit-sikit.
 
Bukan tak bersyukur ya, tapi hati sudah mula terdetik lagi mahu lebih sedikit dan merasa seperti orang lain.  Kalaulah Allah perluaskan rezeki sedia ada ke jumlah RM2k alangkah nikmatnya!  
 
Allah itu Maha Pengasih bukan, walau menggunakan senjata doa meski culas melaksanakan tuntutan yang Dia mahukan tetap juga makbulkan segalanya.  
 
Dah dapat, mulalah rencana pelbagai agenda.  Berbelanja pun sudah berlebih dari biasa.  Tapi itulah namanya Manusia, berilah banyak mana takkan pernah cukup terutama DUIT!
 
Bukan berlebih, makin tak cukup adalah ibarat pepatah 'Besar periuk besar juga kerak nasinya' .  Hutang pun dah pandai buat.  Merencana supaya hutang hanya untuk memenuhi kehendak tanpa memikirkan sebarang risiko di kemudian hari. 
 
Hari ini jangankan RM2k, nilai RM900++ pun susah nak masuk dalam gengam.  Baru nak sedar, Allah dah beri bila-bila masa dia boleh tarik balik.  
 
Sebelum-sebelum ini siapa kata saya tak bersyukur?  Cuma hari ini bertanya pada diri sendiri benarkah penghayatan erti kesyukuran dalam diri?  Sejauh mana penghayatan kepada rasa syukur itu? 
 
Jika benar rasa syukur dihayati sudah pasti tidak diuji sebegini hari ini.  Pastinya bila setiap kali dapat takkan meminta-minta lagi.  Ini tidak, asyik tak puas sahaja! 
 
Apa perlu dihitung lagi, segala ini sudah tertulis dan direncanakan.  Takdir hari ini menampar muka supaya aku bangun dari tidur yang lena.  Betapa kesenangan selama ini sudah takkan bertahan.
 
Juga ini semua satu peringatan andai sudah berjaya mencapai apa diingin satu hari nanti aku akan lebih bersyukur dari sebelumnya.  


1 Mac 2013
7.00pm, dalam kereta



nota:  hisab diri...

No comments :

Post a Comment